Sunday, June 15, 2008

Berita

Tadi semasa saya singgah di Seremban terlihat satu berita:Penduduk lapor BPRSEREMBAN - Seorang penduduk Felda Sendayan mewakili kira-kira 30 yang lain membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Menteri Besar Diperbadankan (MBI), semalam kerana mendakwa syarikat terbabit tidak mematuhi perjanjian jual beli berhubung tanah pertanian mereka masing-masing seluas 0.4 hektar. Individu berkenaan, R Tangam, 46, berkata, pada Mac 2006 penduduk telah menandatangani perjanjian jual beli tanah dengan MBI dan antara imbuhan yang patut diterima ialah tanah pertanian seluas 0.4 hektar bernilai RM348,500. Menurutnya, semasa perjanjian itu dibuat, penduduk telah mengundi bagi menentukan lot rumah dan kebun, malah pihak MBI telah menunjukkan pelan tanah berkenaan. “Hak milik sementara juga telah dikeluarkan awal tahun ini, namun sehingga kini kawasan tanah pertanian itu belum diukur dan disempadankan, sebaliknya MBI telah memajakkan tanah berkenaan. “Sejak perjanjian berkenaan dibuat dua tahun lalu, kami masih lagi belum menerima sebarang hasil daripada pajakan kelapa sawit yang dilakukan oleh MBI kepada dua syarikat. “Malah kami juga tidak pernah memberi kuasa kepada MBI atau mana-mana pihak untuk mengutip hasil bagi pihak kami. Oleh itu kami berpendapat berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa dalam perkara ini,” katanya yang ditemui di pekarangan Ibu Pejabat BPR Negeri Sembilan, pagi semalam. Tangam berkata, hasil pemeriksaan di Pejabat Pendaftaran Syarikat mendapati, pendaftaran salah sebuah syarikat itu telah dibatalkan. Menurutnya, penduduk membuat laporan BPR agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyelewengan serta salah guna kuasa. “Bagaimana MBI boleh memberi hak menuai kelapa sawit atas tanah milik kami dan ke mana pergi hasil jualan sejak lebih dua tahun lalu. “Persoalannya bagaimana hak itu boleh diberi kepada syarikat yang dibatalkan pendaftarannya dan hak milik dikeluarkan tanpa ada apa-apa rekod ukuran di pejabat ukur,” katanya. Seorang lagi peneroka, Safaruddin Yasin, 58, berkata dia terkilan kerana tidak memperoleh hasil daripada tanah yang sepatutnya menjadi milik peneroka. “Sekarang hasil di tanah seluas 0.4 hektar mencecah RM420 selepas harga kelapa sawit melambung tinggi, namun kami tidak memperoleh apa-apa. “Kami ingin tahu mana hak kami kerana sebelum ini beberapa surat dihantar dan perjumpaan diadakan, tetapi tidak membawa sebarang hasil,” katanya. Sebelum ini, kemelut pemilikan tanah peneroka terbabit yang berlarutan sehingga 12 tahun selesai apabila 95 peratus daripada 513 peneroka menerima semua tawaran dalam pakej pampasan yang dijanjikan, iaitu membabitkan wang tunai antara RM450,000 dan RM550,000, tanah pertanian seluas 0.4 hektar dan sebuah banglo.
 
Custom Search